Selasa, 27 April 2010

BKPJM... wadah kesatuan anak Johor di Mesir


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT yang sentiasa mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita. Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. serta seluruh ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda yang meneruskan dakwah Islam ke seluruh alam sehingga dakwah Islam itu sampai kemanisannya pada kita selaku penuntut Al-Quran dan hadis baginda Rasulullah S.A.W. di bumi Mesir yang penuh dengan barakah ini.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“ dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah(agama islam), dan janganlah kamu bercerai-cerai. Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu(sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara ” surah Ali Imran, ayat 103.

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian,

Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) merupakan satu-satunya persatuan pelajar Johor di Mesir. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1970 dengan nama Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ) yang berperanan untuk mengumpul derma untuk kebajikan pelajar disamping mengadakan hubungan dengan Kerajaan Negeri Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan pihak-pihak yang lain.
Dengan meningkatnya bilangan pelajar dan timbulnya pelbagai masalah, maka pada November 1982 Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ) telah dibubarkan dan digantikan dengan nama Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) hinggalah hari ini. 

Cogan kata “ KEBAJIKAN DAN PERPADUAN” telah menjadi satu gagasan dan matlamat utama di dalam pentadbiran BKPJM. Sehingga hari ini, di dalam segala aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh BKPJM, “kebajikan dan perpaduan” semestinya diantara objektif yang akan digariskan untuk membentuk ukhuwah dan perpaduan diantara ahli. Begitu juga, BKPJM telah mempelopori aktiviti kebajikan sejak sekian lama. Bahkan bukan sedikit sumbangan dan baktinya kepada anak-anak Johor yang berada di Mesir ini. BKPJM juga sangat komited dalam menjadikan kebajikan sebagai salah satu agenda perjuangannya selama ini. Skop kebajikan yang dicurahkan BKPJM kepada ahlinya bukan hanya berbentuk wang ringgit, akan tetapi BKPJM juga memberikan kebajikan dari aspek thaqafah, kecemerlangan akademik, kesihatan dan lain-lain.

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian,

Al-Quran dan Sunnah merupakan dasar dan pegangan pembawakan BKPJM. Kesatuan yang telah terbina atas dasar inilah membuktikan Allah S.W.T. masih lagi memelihara BKPJM sebagai wadah penyatuan kepada seluruh anak-anak Johor di Mesir.Selain itu, intima’ yang diberikan oleh ahli kepada BKPJM membuktikan bahawa Al-Quran dan Sunnah menjadi dasar BKPJM dan kesatuan yang telah dibina adalah kesatuan atas nama Islam. 

Sehingga hari ini, BKPJM terus dengan berbekalkan Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar membawa segala matlamat dan tujuan penubuhan BKPJM. Antara tujuan penubuhannya adalah berusaha untuk mengeratkan hubungan ukhuwwah Islamiah diantara seluruh ahlinya, membuat dan meningkatkan sebarang kemajuan pelbagai bidang untuk kepentingan BKPJM dan seluruh ahlinya, menyalurkan kebajikan kepada seluruh ahli dan lain-lain. Antara tujuan lain penubuhan BKPJM juga adalah untuk mengadakan hubungan dengan 
Kerajaan Negeri dan pihak-pihak tertentu selagi tidak melanggar dasar BKPJM. Bukti keperihatinan BKPJM dan seluruh ahlinya dalam mengadakan hubungan dengan Kerajaan Negeri ialah usaha yang telah dilakukan oleh BKPJM gabungan keseluruhan pimpinan BKPJM dan ahli BKPJM yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan satu program yang mencatat sejarah kedua di dalam pentadbiran BKPJM iaitu Majlis Perasmian Bangunan Asrama Kedua Pelajar Johor di Mesir yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang telah diadakan pada 17 April 2010.
Saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian,

Pada masa yang sama, BKPJM dengan sokongan dan dokongan dari seluruh ahli dalam membawa dasar dan tujuan yang telah digariskan tidak terlepas juga dari pelbagai dakwaan dan fitnah, sehinggakan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan BKPJM dan ahlinya terbabit dengan politik pembangkang dan sebagainya. Risalah Islam yang telah dibawa oleh kekasih Allah junjungan kita yang mulia, baginda Rasulullah salallahu alaihi wasallam yang dijamin oleh Allah S.W.T. untuk mempeliharanya hingga ke hari kiamat juga tidak lari dari difitnah, dicaci maki dan dilontarkan dengan pelbagai tohmahan, apatah lagi risalah yang hendak dibawa oleh hamba-hamba Allah yang biasa seperti kita. Sehingga kini, fitnah dan tohmahan seumpama ini disambut baik sebagai kayu pengukur menguji ketabahan pimpinan BKPJM dan kesetiaan pendukung BKPJM yang mempunyai semangat dan kesedaran yang terpasak dengan kefahaman Islam. 

Semoga segala usaha yang dibuat oleh BKPJM dengan dukungan dari seluruh ahli mendapat keberkatan dan naungan Allah S.W.T. seterusnya dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang berdasarkan ilmu dan kefahaman yang dibentuk atas nama Islam.
Sekian, Wassalam.

KEBAJIKAN DAN PERPADUAN” 
 
Salam Mahabbah dari saya ;
BASIR BIN MOHAMED
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 09/10

sumber: BKPJM 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar