Jumat, 09 Juli 2010

Perjalanan Agung kekal di ingati...

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ


"Mahasuci (Allah) , yang telah memperjalankan hamba-Nya (Saiyidina Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya dia Maha Mendengar , Maha Melihat"
Surah Al Isra' : 1

Isra' Mi'raj merupakan salah satu siri perjalanan agung baginda dari Masjid Al Haram ke Masjid Al Aqsa seterusnya ke Sidratul Muntaha . Disana Saiyidina Nabi bertemu dengan Allah s.w.t. Disana jugalah difardhukan solat 5 waktu ke umat Islam. Disana juga Saiyidina Nabi diperlihatkan oleh Allah s.w.t tentang bentuk-bentuk siksaan dan balasan kebaikan bagi mereka yang melakukan amal soleh.

 Peristiwa Isra' Mi'raj berlaku di dalam tahun kesedihan lantaran Saiyidina Nabi bersedihan atas kewafatan 2 orang yang amat disayangi baginda dalam perjuangan medan dakwah iaitu Saidatina Khadijah dan Pak Cik baginda Abu Talib. Perjalanan Isra' Mi'raj adalah salah satu cara untuk menetapkan hati baginda s.a.w dalam medan dakwah. Peristiwa Isra' Mi'raj salah satu mukjizat baginda s.a.w.

Kebanyakkan  ulama mufassirin bersepakat bahawasanya peristiwa Isra Mi'raj berlaku pada jasad dan roh baginda kerana lafaz kalimah (عَبۡدِه) adalah gabungan dari jasad dan roh yang menaiki Buraq dalam keadaan baginda s.a.w berjaga (sedar) bukan dalam mimpi .

Peristiwa Isra Mi'raj juga melibatkan 2 masjid iaitu Masjid Haram (Kaabah) dan Masjid Al Aqsa. Masjid Al Aqsa pernah dijadikan sebagai kibat pertama umat Islam. Antara persoalan yang dapat kita renungkan seketika , mengapa Allah s.w.t menjadikan Masjd Al Aqsa salah satu lokasi perjalanan baginda s.a.w sehingga baginda nabi solat di Masjid Al Aqsa .

Menurut pandangan yang penulis nukilkan dari Kitab Tafsir Wasit karangan Syeikh Dr Wahbah Zuhaili mengenai "Masjidilaqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya" :

1- Kerana Masjid Al Aqsa dan kawasan sekitarnya adalah tempat penurunan para rasul dan nabi-nabi berserta kenabian dan pensyariatan.

2- Kerana kesuburan tanah seperti pokok-pokok, sungai, buah-buahan.

Kini Palestin dan Al Aqsa telah menderita hampir 60 tahun dan masih menunggu Sang Pembela seperti mana sejarah pernah tercatat apabila Saiyidina Umar Al Khattab dan Sultan Salehuddin Al Ayubi membebaskan Kota Palestin dan Al Aqsa.

Ayuh pemuda dan diri ini ! Bangkitlah dirimu dengan menyemai benih-benih tarbiyyah. Jangan biarkan dirimu di penuhi dengan alasan. Jangan sematkan dalam sanubarimu untuk mengangkat nama dan pandangan masyarakat umum terhadap mu. Jangan kamu kedekut untuk menginfakkan jiwa , wang dan keringat untuk Islam. Kerana perjuangan ini memerlukan pengorbanan .Perjuangan ini bukan seketika kerana KITA adalah mata rantai perjuangan.

p/s: entri ditulis bagi menggantikan "muzakarah berkelompok" yang tertangguh dan galakkan siapa yang hendak  menginfakkan DANA SYAQAH PMRAM.

Muhammad Aliffudin B Ramlee
6.25 petang
9/7/2010
Bait Tijari   


1 komentar: