Kebangkitan rakyat di abad ini memperlihatkan kepada kita runtuhnya beberapa kuasa-kuasa rejim yang selama ini menindas dan menzalimi rakyat mereka sendiri. Kebangkitan rakyat ketika ini menunjukkan tanda-tanda ke arah menegakkan semula masyarakat yang memahami dan menghayati ajaran Islam.
Akan tetapi menjadi persoalan kepada kita , adakah kebangkitan ini didasari
dengan Islam ataupun sekadar memenuhi ciri-ciri kebebasan. Kita mengharapkan, kebangkitan rakyat di abad ini bertunjangkan Islam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
“ Akan senantiasa ada segolongan daripada umatku berdiri atas kebenaran , mereka
tidak boleh digugat oleh orang-orang yang menentang mereka sehinggalah datangnya ketentuan Allah ..“ (HR Muslim).
Saudara-saudaraku,
Sebelum kita menempuh beberapa siri-siri kebangkitan Islam yang mana kita sendiri tidak pasti sama ada kita bersama kebangkitan tersebut ataupun tidak. Kerana kita menyakini masa depan hanyalah untuk Islam. Tetapi yang menjadi persoalan kita adakah kita bersama dengan Islam pada masa hadapan atau kita lari dari Islam. Hanya Allah sahaja yang tahu.
Beberapa persiapan yang perlu kita lakukan sebelum menempuh siri-siri
Kebangkitan Islam. Yang pasti jalan menuju kebangkitan ini tidak dihamparkan kepada kita karpet merah. Mungkin cecair yang berwarna merah ditubuh badan kita terpaksa
dibayar untuk melihat kemenangan Islam.
Saudara-saudaraku,
Ada beberapa tuntutan persiapan ke atas pendokong-pendokong kebangkitan Islam.
Persiapan yang terbaik memerlukan perencanaan yang teliti dan persiapan yang
berterusan.
Pertama : Persiapan Fikrah
Melihat situasi semasa hari ini , umat Islam dilanda dengan serangan pemikiran. Serang tersebut merobek satu persatu identiti umat Islam sehingga kemuncak beberapa individu muslim mengaku murtad secara terang-terangan. Fikrah yang melanda umat kini bukanah Fikrah Islamiah yang sohih tetapi beberapa idealogi rekaan dari musuh-musuh Islam seperti komunisme, sekularisme , hedonism , materialisme dan lain-lain. Apakah kita mempunyai persiapan fikrah yang cukup bagi membawa satu
perjuang yang besar ini?
Marilah kita berlaku jujur pada diri kita ini , berapa ayat Al Quran dan hadis yang kita tadabbur (renungi) dan menghayati setiap hari , berapa banyak buku-buku Islam dan bersifat haraki yang kita hasbiskan sepanjang tahun. Semua ini adalah persiapan fikrah kerana dewasa ini musuh-musuh Islam telah menggunakan senjata-senjata moden untuk menerobos masuk dan menyerang pemikiran-pemikiran kita.
Kedua : Persiapan Rohani (Jiwa)
Persiapan rohani adalah persiapan yang paling penting . Islam bukan hanya menuntut untuk kita mempersiapkan persiapan fizikal semata-mata. Tetapi menitik
beratkan dari sudut rohani. Lihat sahaja perjalanan hidup Rasulullah dan generasi
sahabat mempersiapkan kekuatan fizikal dan rohani dalam menghadapi musuh.
Begitu juga tokoh-tokoh gerakan Islam yang dipenjarakan tetapi mampu menghadapinya dengan tenang sehingga dalam kisah Zainab Al Ghazali , sewaktu di bilik
kurungan dipanaskan udaranya dan sewaktu musim sejuk pada tengah malam dipasangkan penyaman udara dan diletakkan diatas air batu serta dilepaskan anjing ganas
bersama Zainab al Ghazali. Beliau berkata “ Saya tidak meletakkan harapan kepada
sesiapa melainkan kepada Allah “. Anjing yang ganas itu mengerti bahawa yang berada dihadapan itu adalah muslimah yang tinggi rohani dan pergantungan kepada Allah.
Muslimah yang mempunyai kesabaran dan ketaatan yang tinggi dan anjing ganas
tersebut tidak melakukan sesuatupun kepada Zainab al Ghazali.
Ketiga : Persiapan Gerakan
Gerakan merupakan gerak kerja secara kolektif dan berjamaah. Dalam menempuh kebangkitan Islam menyertai jamaah dan bekerja secara kolektif adalah pra syarat
kebangkitan dan kemenangan. Oleh demikian , Islam meletakkan kepada kita beberapa amal islami seperti amal fardi, amal ijtimaie dan amal jamaie. Ada amal yang dilakukan secara individu dan ada amal dilakukan secara berjamaah.
Firman Allah : Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang dijalanNya dalam satu barisan yang teratur , mereka seakan-akan seperti bangunan yang tersusun kukuh.
Persiapan gerakan penting kerana gerakanlah yang akan merencana segala gerak kerja dan strategi dalam sesuatu perkara.
Saudara-saudaraku,
Kita menyakini suatu masa nanti Islam pasti akan berada diatas. Cuma kita perlu bekerja dan mempersiapkan diri dan rohani kita sesuai dengan kehendak Islam. Dan kita
menyakini bahawa masa depan hanyalah untuk Islam. Kita perlu member perhatian dalam perkara –perkara berikut :
1) Mengguna ilmu yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah
2) Menjaga solat dan fardhu-fardhu yang lain disamping meningkatkan amalan sunat.
3) Menjauhkan diri dari dosa besar dan tidak mengekalan dosa kecil secara berterusan.
4) Menjaga ukhwah sesama kita.
5) Solat secara berjamaah dan membiasakan diri terikat dengan masjid dan membaca Al Quran dan mempelajari hadis.
6) Menutup aurat dan mengelakkan diri daripada pergaulan bebas.
7) Melatih diri menjadi individu muslim yang berketrampilan dan cekal serta hidup dalam budaya jamaah.
Semoga Allah memberkati usaha kita dan kepada Allah kita berserah.
Muhammad Aliffudin B Ramlee
Rujukan :
-Menegakkan Perjuangan– Memenangi pilihanraya menerusi persiapan tarbiah
(Haji Abu Bakar Chik)
-Aqidah dan Perjuangan (Haji Fadzil Mohd Noor)