Rabu, 24 November 2010

Sultan Johor Mahu Ganti Jambatan Baru

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya kerajaan pusat membina jambatan baharu menggantikan Tambak Johor. Ini merupakan kali kedua baginda menyatakan hasrat itu selepas dilantik menjadi sultan.

Sebelum itu Almarhum ayahanda beliau, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail juga mendesak dirobohkan tambak dan digantikan jambatan baharu demi kebaikan rakyat kedua-dua buah negara dan keperluan ekonomi yang lebih relevan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 dengan harapan pembinaan jambatan baharu itu dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang alik ke Singapura, malah kemudahan untuk rakyat negara jiran melancong ke negara ini.

Sambil menghargai sumbangan besar dan keperhatinan kerajaan kepada masalah rakyat, baginda dengan nada sayu seolah-olah terkilan kerana hasrat ingin melihat Tambak Johor diroboh dan digantikan dengan jambatan baru belum dipenuhi oleh kerajaan pusat.

Menurut baginda lagi, ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir selakigus memberi kesan terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Apakah reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tentang permintaan kedua baginda itu? Adakah kerajaan perlu membuka semula perundingan baru dengan Singapura bagi mereaslisasikan hasrat dan gesaan baginda itu?

Apakah Najib bersedia mendengar lagi ulangan kali ketiga dan seterusnya gesaan itu jika pintu rundingan tidak dibuka segera dengan pemerintah Singapura bagi menyelesaikan tuntutan baginda itu?

Episod baharu ini membuktikan desakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Almarhum ayahnda baginda dan majoriti warga Johor yang ingin melihat jambatan baharu dibina bagi menggantikan Tambak Johor bukanlah cerita omong kosong atau impian individu tertentu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Senario itu juga memberi isyarat bahawa soal pembinaan jambatan baharu adalah isu popular yang sudah menjadi perhatian dan kehendak mendesak semua rakyat Malaysia umumnya dan warga Johor khasnya.

Apa yang diperlukan kini ialah keazaman kuat dan keberanian Najib untuk mencari jalan keluar berunding sebaik mungkin dengan pemimpin negara jiran itu supaya menerima hakikat sebenar keperluan dirobohkan tambak dan dibina segera jambatan baharu demi persahabatan dan hubungan istimewa kedua negara yang sudah terjalin lama dalam ikatan sejarah.

Jika Singapura enggan bekerjasama, kerajaan boleh membina jambatan bengkok di sebelah perairan kita seperti yang dihujah Mahathir sebelum ini. Ini dibenarkan dari sudut undang-undang kerana kita tidak menyentuh atau memasuki daerah perairan Singapura.

Dan jika cadangan itu tidak diterima pemerintah negara jiran yang terkenal sikap kaisu (tidak mahu kalah), kerajaan harus segera menyerahkan perkara itu kapada mahkamah antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian adil dan abadi.

sumber

Minggu, 21 November 2010

Jumat, 19 November 2010

Risalah "Taadud Jamaah " oleh TG Abdul Hadi

Persoalan tentang berbilang-bilangnya jemaah agak hangat di bumi Mesir. Maka, suka untuk saya memetik daripada sebuah buku karangan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 1993 lagi, yang bertajuk Tafsir Surah As Soff. Artikel ini bukanlah berniat untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya menjelaskan penyelesaian.

Alasan Menubuhkan Jemaah Baru

Terdapat di dunia ini bermacam-macam jemaah yang menamakan jemaah mereka sebagai gerakan Islam. Ia tertubuh walaupun gerakan Islam sudah sedia ada. Matlamat dan tujuannya sama sahaja. Maka akan terbentuklah jemaah yang berbilang-bilang. Selain itu, ia tertubuh disebabkan beberapa faktor-faktor, antaranya ialah :

1. Gerakan Islam yang sedia ada didakwa telah kehabisan matlamat dan tujuannya sedangkan matlamat dan cita-cita untuk menegakkan Islam belum kesampaian. Maka, hasilnya ramai yang berjuang separuh jalan, kemudian mencari perjuangan lain, kerana bosan dengan gerakan yang sedia ada, tidak istiqamah dengan perjuangan tersebut.

2. Gerakan Islam yang telah wujud didakwa tidak lengkap dan tidak menyeluruh, maka mereka menubuhkan jemaah lain, semata-mata untuk mempamerkan manhaj yang lengkap. Sedangkan mereka sepatutnya berusaha untuk melengkapkan gerakan yang sedia ada.

3. Gerakan Islam yang sedia ada didakwa mempunyai kekeliruan. Maka, dengan mewujudkan jemaah lain akan menyelamatkan mereka daripada sebarang tuduhan dan kekeliruan tersebut. Mereka tidak yakin dengan perjuangan asal, lalu mereka menubuhkan jemaah baru kononnya mereka lebih yakini dengannya.

4. Gerakan yang sedia ada didakwa telah banyak melakukan kesilapan, maka mereka menubuhkan jemaah baru kononnya untuk melepaskan diri daripada kesilapan tersebut. Walhal mereka hanya nampak kesilapan, dan tergesa-gesa menghukum.

Persoalan

Di atas ini adalah antara alasan untuk menubuhkan jemaah baru, sedangkan gerakan yang sedia ada sudah tertubuh. Maka, persoalan yang dilontarkan di sini ialah,

1. Adakah pertubuhan baru tersebut telah mencapai matlamatnya?

2. Adakah pertubuhan baru ini berjaya melepaskan diri daripada sebarang tuduhan dan kecaman?

3. Adakah pertubuhan baru ini dapat melaksanakan dakwah dengan selesa setelah keluar daripada gerakan Islam asal yang penuh dengan dugaan?

4. Adakah pertubuhan baru ini benar-benar lengkap sepertimana yang diharapkan setelah keluar daripada gerakan asal?

5. Dan sebagainya.

Alasan-alasan untuk menubuhkan jemaah baru adalah penyebab hancurnya sistem berjemaah sepertimana yang telah disebutkan di dalam Surah as Soff ayat 4. Penubuhan jemaah baru ini, pastinya tidak dapat berhadapan dengan realiti kerana beberapa perkara berikut :

Realiti Penubuhan Jemaah Baru

1. Mereka menyangka kesalahan, tuduhan dan kecaman tidak akan mereka terima dengan tertubuhnya jemaah baru, sedangkan mereka lebih banyak menerimanya setelah penubuhan jemaah baru. Bahkan mereka tidak sedar, apa yang mereka tentang itu adalah Islam sendiri.

2. Kesalahan yang mereka lihat pada Gerakan Islam yang sedia ada, lalu mereka menubuhkan jemaah lain, hakikatnya kesalahan tersebut terpalit kepada mereka pula. Bahkan mencetuskan perpecahan sesama umat Islam.

3. Hasilnya, jemaah baru ini hanya mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Gerakan Islam yang sedia ada, dan mereka baru sahaja memulakan langkah itu, sedangkan Gerakan Islam yang sedia ada sudah lama maju ke hadapan.

4. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan yang baru ini seolah-olah memberi gambaran buruk kepada masyarakat, meragui kemampuan Islam dalam menyelesaikan masalah ummah. Mereka melihat Islam mengajak kepada kesatuan, tetapi apabila melihat jemaah yang berbilang, mereka akan hilang kepercayaan terhadap Islam dalam menyatukan ummah.

Anologi Penubuhan Jemaah Baru

Contoh yang paling sesuai, apabila seorang doktor melihat klinik sahabatnya kekurangan tenaga pakar, peralatan dan kelengkapan, lalu doktor ini menubuhkan pula klinik baru di kawasan yang sama, dengan harapan kliniknya dapat menyediakan perkhidmatan yang lengkap, dan cukup dengan tenaga pakar.

Akhirnya doktor ini telah menyebabkan klinik milik sahabatnya itu akan terus dengan kekurangannya, dan klinik miliknya juga akan mengalami masalah yang sama. Bayangkan sekiranya doktor-doktor lain juga berfikiran yang sama sepertinya. Maka, semua klinik akan mengalami kekurangan tenaga pakar, disebabkan bilangan klinik melebihi bilangan tenaga pakar.

Maka, jalan yang sepatutnya ialah, doktor tadi perlu bergabung dengan sahabatnya untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap kliniknya, sehinggalah kliniknya benar-benar pulih, barulah dia merancang untuk membuka cawangan sekiranya perlu, dan mempunyai kelengkapan yang cukup.

Telah kita sebutkan bahawa kita adalah penyambung perjuangan nabi-nabi, dan kita bukanlah pencipta perjuangan yang baru. Kita perlu menggabungkan diri dengan perjuangan-perjuangan yang telah dilalui oleh mereka.

Memperbetulkan Keadaan

Untuk memperbetulkan sistem yang telah rosak disebabkan berbilangnya jemaah, maka perlunya kepada salah satu daripada 2 penyelesaian ini. Iaitu :

1. Jemaah yang tertubuh atas dasar tidak puas hati, benci, kritikan, tuduhan atau sebagainya yang telah disebut sebelum ini, haruslah kembali kepada jemaah yang asal, dan sama-sama memperbetulkan kesilapan masing-masing untuk menghidupkan dan membina jemaah tersebut.

2. Atau menjalinkan kerjasama dengan membuat penetapan atau persetujuan. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan dalam membuat kerjasama ini ialah :

a. Setiap jemaah boleh mengekalkan undang-undang tubuh masing-masing secara berasingan, tetapi perlu bersedia mengubah cara bekerja dari semasa ke semasa.

b. Setiap jemaah hendaklah bertanggungjawab dalam memastikan anggotanya sentiasa tunduk dan patuh kepada pimpinan umum.

c. Setiap anggota jemaah hendaklah memberikan wala’ kepada pimpinan umum selagi mana ia bertindak mengikut peraturan dan etika yang telah dipersetujui.

d. Setiap anggota daripada setiap jemaah hendaklah tidak boleh sama sekali memberi bantuan, sokongan atau kerjasama kepada mana-mana pihak yang menjadi musuh pakatan ini.

e. Setiap jemaah haruslah tidak menyerang satu sama lain, malah hendaklah sama-sama mempertahankan jemaah yang disepakatinya ketika menghadapi serangan.

f. Bidang kerja setiap jemaah dan anggota hendaklah diselaras dengan baik.

g. Untuk menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan pakatan ini, hendaklah diwujudkan jemaah kepimpinan mengikut persetujuan bersama.

Insya Allah, sekiranya ia terlaksana Islam pasti akan kembali bersatu. Semoga usaha ini dapat dilakukan bagi menyelesaikan konflik berbilang jemaah. Maka, lihatlah firman Allah SWT di dalam ayat 4 Surah as Soff ini, Allah SWT menyuruh umat Islam supaya bersistem dan berjemaah.

Maka, kembalilah kepada sistem ini, dan gabungkanlah diri anda dengan gerakan Islam. Elakkanlah perbalahan dan perpecahan yang terhasil disebabkan berbilangnya jemaah.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Selasa, 16 November 2010

SALAM ADHA


SALAM AIDIL ADHA KEPADA :

1- IBU ABAH , ADIK-ADIK DI KLUANG
2- KEPADA SAUDARA MARA DARI UTARA SAMPAI SELATAN
3- KEPADA SAF KEPIMPINAN PMRAM
4- KEPADA SELURUH AHLI PMRAM DAN DPM MANSURAH
5- SAHABAT-SAHABAT PERJUANGAN DI M.A.K , MAAHAD JOHOR DAN AL AZHAR
6- KEPADA RAKAN BLOGGER DAN MEREKA YANG MENGENALI DIRI INI


"KULLU AM WA ANTUM BIKHOIR"