Rabu, 10 Maret 2010

Al Fatihah Untuk Syeikhul Azhar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi


Siapa pengisi kekosongan mereka ?
Siapa penerus langkah mereka ?
Siapa penyambung perjuangan mereka ?

Mereka juga manusia
Tubuh mereka makin dimamah usia
Perjuangan mereka bukan sia-sia

Adakah daku layak menerimanya ?
Mampukah daku  memikulnya ?
Mungkinkah ada nusrah dari Nya ?

Lantaran noda yang terpalit
Akibat maksiat yang melilit
Diri ini makin tersepit dan terselit

Siapa pengisi kekosongan mereka ?
Siapa penerus langkah mereka ?
Siapa penyambung perjuangan mereka ?

Ya Allah pilihlah kami sebagai penerus perjuangan ini . Amin

Biografi Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi

Dr. Muhammad Syed Tantawi dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di Kampung Saleem Syarqiyyah, Daerah Tama Governorate Soohaj. Beliau mendapat pendidikan asas di kampungnya dan setelah menghafaz al Quran, beliau meneruskan pengajian ke Institut Agama di Iskandariah pada tahun 1944. Apabila tamat pengajian menengahnya beliau menyambung pelajarannya ke Fakulti Usuluddin, Universiti al Azhar di Kaherah pada tahun 1958. Mendapat ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (al ‘Aliyah). Manakala pada tahun1959, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Pendidikan dan beliau meneruskan pengajian sehingga ke peringakat PHD di dalam bidang Ulum Quran wa Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat mumtaz. Tajuk Tesis beliau ketika itu ialah Banu Israel dalam Al Quran dan Sunnah. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Waqaf Mesir sehingga tahu 1964 sebelum dilantik sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin pada tahun 1968. Beliau kemudiannya berpindah perkhidmatan ke Universiti Islam Libya pada tahun 1972 sehingga tahun 1976 di mana ketika itu beliau dilantik menjadi Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti Al Azhar Cawangan Asyut. Pada tahun 1980 pula beliau ke Universiti Islam Madinah di Negara Saudi Arabia sebagai Ketua Jabatan Tafsir dan Ulum Quran Peringkat Pengajian Siswazah. Selain itu juga beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Basrah, Iraq. Pada tahun 1985 beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti al Azhar Kaherah. Manakala pada 28 Oktober tahun 1986 beliau secara rasmi telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir dan akhirnya pada 8 Zulkaedah 1416H bersamaan 17 Mac 1996 M, beliau telah dilantik sebagai Sheikhul Azhar yang ke-34 bagi Negara Republik Arab Mesir.
Dr. Muhammad Syed Tantawi sangat aktif dalam memberikan khidmat kepada masyarakat dan banyak membuat penyelidikan ilmiah, menulis makalah, mengambil bahagian dalam pelbagai seminar, forum, konvokesyen dan majlis-majlis ilmu di Masjid Al Azhar. Beliau banyak menyumbangkan hasil penulisannya di dalam majalah-majalah di dalam dan di luar negara. Beliau merupakan ulama’ yang tegas dan berani dalam mengemukakan pandangan dan pendapat dalam apa jua isu yang dibangkitkan sama ada di peringkat tempatan mahupun di perigkat antarabangsa.

Sheikhul al Azhar, al Imam Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi meninggal dunia pada pagi Rabu di Arab Saudi akibat serangan jantung yang begitu kritikal, di waktu usianya menjangkau 82 tahun. Serangan mengejut telah menimpa Sheikhul Azhar sepanjang keberadaan beliau di Lapangan Terbang al Malik Khaled Antarabangsa, Riyadh untuk melakukan perjalanan pulang ke Kaherah. Ketika Allahyarham berangkat segera menuju ke hospital beliau telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Allahyarham di sana sedang melakukan lawatan rasmi menemui wakil Kerajaan Saudi untuk menghadiri Majlis Penganugerahan Raja Faisal kepada beliau berikutan khidmatnya kepada Islam di mana Allahyarham termasuk salah seorang penerima anugerah tersebut pada tahun ini.
Allahyarham yang juga merupakan Sheikhul Azhar, lahir pada 28 Oktober 1928 di sebuah desa Salim as Syarqiyyah berpusat di daerah Tama, Soohaj. Beliau telah belajar dan menghafaz al Quran di kota Iskandariah.
Allahyarham menerima gelaran doktor dalam ilmu hadith dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat kepujian (mumtaz), kemudian beliau bekerja sebagai tenaga pengajar di kuliah Fakulti Usuluddin, dan seterusnya ditugaskan mengajar di negara Republik Arab Libya selama 4 tahun. Selepas itu, beliau bekerja sebagai dekan bagi Pengajian Pasca-sarjana Universiti Islam di Madinah.
Kemudian Prof.Dr Mohamed Sayyid at Tantawi dipilih menjadi Mufti Kerajaan Mesir pada tanggal 28 Oktober 1986, dan menduduki menduduki jawatan tersebut sehinggabeliau dilantik menjadi Sheikhul al Azhar pada tahun 1996.
Beliau merupakan salah seorang ilmuan al Azhar yang tersohor yang begitu sarat dengan pengalaman ilmu pengetahuannya, terutamanya dalam bidang tafsir.
Walau bagaimanapun, di sana ada pendirian-pendirian beliau mengenai isu politik yang tidak disepakati dasarnya, ini kerana perkara politik lebih mendominasi praktikal dan saintifik dalam kehidupannya.

P/s Soutul Nahdhoh: terfikir hendak mengarang sajak ini ketika menghayati hadis Saidina Muhammad yang berbunyi :

Daripada Abdullah bin Amru bin Ash R.a berkata : Aku mendengar Rasullullah s.a.w bersabda ; "Bahawasanya Allah s.w.t  tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia . Tetapi Allah s.w.t menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ranai akan memilih orang - orang jahil sebagai pemimpin mereka . Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya , mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan . Mereka sesat dan menyesatkan orang lain "   HADIS RIWAYAT MUSLIM

sajak ini dikarang pada 
7.22 pagi
10/01/2010

Tidak ada komentar:

Posting Komentar