"sesungguhnya setiap jalan dakwah disertai oleh cabaran dan tribulasi, sesungguhnya aku takut jika jalan perjuangan tiada cabaran ditakuti tersalah pilih jalan perjuangan, kerana para rasul-rasul terdahulu perjuangan mereka disertai onak dan duri" -Figur Dakwah Syeikh Mustafa Mashur
Rabu, 08 Desember 2010
HIJRAH : KUASA MAHASISWA ISLAM
Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.
Jika kita menyorot kembali sejarah penghijrahan di zaman Rasulullah SAW, pasti kita akan menemui cara dan uslub yang digunakan oleh pemimpin agung ini bagi memulakan kebangkitan umat Islam.
Sejarah penghijrahan ini pasti tidak akan berlaku sekiranya perancangan dan strategi hanya sekadarnya sahaja.Sebab itulah kebangkitan umat Islam sebenarnya memerlukan kepada sifat kesatuan. Dan kesatuan yang dimaksudkan di sini adalah kesatuan dari sudut akidah, pemikiran dan gerak kerja.
Allah SWT sengaja menyusun hari-hari kebesaran sebagai pedoman dan panduan bagi umat Islam untuk menyusun perancangan di masa hadapan. Setiap hari-hari yang disambut tersebut mempunyai intipati yang tersendiri bagi umat Islam menghayatinya.Intipati bagi Hari Raya yang disambut pada 1 Syawal adalah sifat taqwa yang perlu ada dalam jiwa umat Islam.
Setelah menempuh fasa tarbiyah sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam kembali kepada fitrah asal kejadian dengan sifat taqwa yang wujud di dalam diri. Perkara tersebut disebut oleh Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan perkara tersebut terhadap umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu semua menjadi orang-orang yang bertaqwa".(Surah Al-Baqarah : ayat 183)
Intipati bagi Hari Raya Aidiladha pula adalah sifat berkorban yang perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam. Sejarah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim As serta anaknya Nabi Ismail AS sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan suruhan daripada Allah SWT.Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga menerapkan sifat berkorban ini selama 13 tahun sepanjang tempoh pembinaan umat Islam di Mekah.
Manakan tidak, para sahabat Rasulullah SAW sanggup meninggalkan harta dan kekayaan yang mereka miliki di Mekah demi bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah menuju ke Madinah.Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW juga mengajar kaum Ansar agar membantu kaum Muhajirin ketika melaksanakan perintah Allah SWT.
Bukti sifat berkorban yang subur di dalam jiwa kaum Ansar, mereka sanggup menawarkan kepada kaum Muhajirin untuk tinggal bersama-sama, menyumbangkan jiwa dan harta yang ada demi semata-mata ingin melihat kalimah 'Lailaha illallah' tertegak di bumi Madinah.
Maka intipati kepada sambutan Maal Hijrah adalah sifat kesatuan umat Islam. Inilah sifat yang merupakan senjata paling ampuh bagi kebangkitan sesebuah tamadun. Sesungguhnya perpecahan sesama bangsa dan akidah bakal melahirkan jiwa umat Islam yang hilang jatidiri dan integriti.
KUASA MAHASISWA ISLAM
Melihat kepada suasana dan keadaan mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu serius melaksanakan program dan aktiviti bagi melahirkan mahasiswa Islam yang mempunyai prinsip dan pendirian.
Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini, mahasiswa Islam perlu menjadikan intipati bagi hari kebesaran tersebut sebagai pegangan hidup. Sifat kesatuan perlu wujud dikalangan mahasiswa Islam bagi membentuk kuasa mahasiswa yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan.
Sejak kebelakangan ini, mahasiswa Islam seringkali dizalimi sehingga menyebabkan pengajian mereka di bumi Mesir ini terganggu. Isu ugutan penarikan zakat yang semakin digunapakai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan suara mahasiswa semakin lantang menyatakan kebenaran.
Selain itu, isu hak kebajikan yang sepatutnya dirasai oleh mahasiswa Islam terus dipersoalkan. Duit peruntukan yang disalurkan oleh setiap kerajaan negeri atau yayasan Islam kepada Tabung Kecemasan terus menjadi tanda tanya mahasiswa Islam ekoran mereka tidak mendapat hak tersebut daripada pihak yang menguruskan.
Sekali pandang, tindakan beberapa pihak ini seolah-olah cuba mencabar kuasa mahasiswa Islam. Dan perkara inilah yang perlu dinyahkan daripada bumi Mesir dengan tindakan yang profesional daripada mahasiswa.Oleh itu, jangan sesekali berpecah ketika menghadapi ancaman serta bertindak mengikut arahan daripada pimpinan.
Keselarasan pemikiran dan kesepakatan bekerja inilah yang PMRAM istilahkan sebagai Satu Fikrah Satu Amal.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
2010.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar