MANSURAH (Mesir), 17 Okt: Taklimat biasiswa yang diadakan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) di Dewan Handousa, Kuliah Perubatan, Universiti Mansurah, semalam telah bertukar menjadi taklimat penerangan mengenai kelab Umno.
Majlis yang berlangung pada pukul 3 hingga 5 petang itu telah dihadiri oleh kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi kuliah sains kesihatan, Universiti Mansurah sehingga dewan besar itu melimpah.
Penceramah jemputan yang juga mewakili Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Khairy Jalaluddin telah mengedarkan borang kelab Umno yang juga tertera lambang Umno kepada seluruh hadirin.
“Kalau hendak biasiswa, kamu kena isi borang Umno dulu,” begitulah antara intipati ucapan daripada penceramah jemputan.
Majlis yang sepatutnya banyak membicarakan tentang biasiswa diubah formatnya kepada lebih membicarakan tentang Umno dan juga ISMA.
Bagi hadirin, majlis itu adalah satu pengkhianatan dan penipuan kepada mahasiswa.
“Kami sepatutnya diberikan taklimat mengenai biasiswa sebaliknya diperbodohkan dengan taklimat lain,” ujar salah seorang hadirin.
Dalam masa yang sama, majlis itu juga tidak dimaklumkan awal sebaliknya dihebahkan pada hari ia dilangsungkan.
Kesemua mahasiswa dimaklumkan mengenai perkara ini secara tergesa-gesa dan juga diingatkan untuk membawa salinan keputusan SPM sebagai langkah untuk mengisi borang biasiswa.
“Adakah pengedaran borang Kelab Umno termasuk dalam tugasan JPMK. Kalau begitu JPMK sebenarnya telah membawa agenda politik dalam jabatan mereka dan perkara ini adalah sama sekali salah dalam amanah yang telah diberikan kepada mereka,” kata seorang pelajar senior Mansurah.
Pun begitu, majlis itu tidak diketahui siapakah penganjurnya dan perjalanannya sangat berterabur.
Penceramah jemputan dalam masa sama juga adalah seorang pengerusi majlis dan juga pengedar borang Kelab Umno.
Menurut seorang hadirin lagi, siapa yang menjemput Khairy dan siapakah yang merancang kehadirannya untuk majlis itu masih tidak diketahui.
sumber : harakahdaily
Tidak ada komentar:
Posting Komentar